Terkini di Neutral Daily

Tuesday, November 10, 2009

Berita dan Gambar : Birthday Ekin (isteri Mawi) Meriah.. | Nizar News

Neutral Daily membawakan anda berita dan gambar berkenaan majlis sambutan birthday Ekin, isteri Mawi.







Lebih Banyak Gambar di Flickr Neutral Daily


Laporan Mangga Online:

Ekin kempunan...

"Ekin berdoa dikurniakan zuriat," begitulah doa Ekin sempena sambutan ulangtahunnya yang ke-30 pada hari ini.

Walaupun pernah mengalami keguguran, namun Ekin dan suami, Mawi tidak pernah patah semangat sebaliknya menganggap segala yang terjadi adalah suratan takdir.

Pasangan penyanyi popular Asmawi Ani, 28, dan Nora’ Asikin Rahmat atau Ekin, 30, ditemui di banglo milik mereka di Bangi Golf Club. Kesibukan Mawi menyebabkan sambutan hari lahir Ekin terpaksa dilakukan awal sehari.
"Sambutan kali ni sangat bermakna sebab Ekin sambut birthday dengan suami di rumah baru kami," ujarnya yang turut menjemput anak-anak yatim dari Masjid Jumuriah, Petaling Jaya bagi memberkati majlis.

Mendirikan rumahtangga pada 20 Disember tahun lalu, dan mula menduduki banglo tersebut selepas seminggu berkahwin. Namun tidak pernah ditunjukkan kepada media atau khalayak atas alasan privacy. Semalam (4 November) Mawi mula memberi keizinan untuk media merakam gambar banglonya.

"Sebelum ini Mawi terlalu menjaga privacy rumah sebab dia duduk seorang. Tapi bila dah berdua ni, barulah Mawi berani nak tunjukkan rumah.

"Lagi satu kami belum buat majlis tahlil masa mula-mula duduk rumah ni. Alang-alang buat birthday Ekin, kami buatlah tahlil sekali," ujar Ekin sedondon berbaju merah jambu dengan Mawi.

Tertanya-tanya juga apa hadiah istimewa Mawi untuk isteri tercinta, namun Mawi merahsiakannya dan meminta kami tunggu sehingga malam untuk mengetahuinya.

Mawi kagumi filem Majika

Mengakui filem lakonannya, Majika yang bakal ditayangkan Mac 2010 setanding dengan filem terbaik yang pernah dihasilkan Malaysia.

"Mawi bagi lima bintang untuk filem ini sebab memang berunsur fantastik," ujarnya yang bakal menyambut Hari Raya Haji di Korea bersama Ekin.

Mawi kini sedang merancang merakamkan album terbaru yang bakal melibatkan idola terkenal Malaysia sperti Ramli Sarip, Jeffry Din, Jay Jay dan Hattan. Single baru Mawi berjudul Barangkali juga bakal menemui peminat tidak lama lagi.


Laporan Utusan :

Mawi-Ekin terus dilamun cinta

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my


MAWI dan Ekin bersama ahli keluarga masing-masing.

TANGGAL 20 Disember ini, genaplah setahun usia perkahwinan penyanyi lelaki paling popular, Mawi dan isteri tercintanya, Ekin.

Baik sebelum mahupun selepas bergelar suami isteri, Mawi dan Ekin sememangnya tidak henti diuji dengan pelbagai ujian hebat.

Malah, akui Mawi sehingga ke hari ini pun dia dan Ekin masih lagi mendapat surat layang yang mengandungi kata-kata kesat dan lucah.

Tidak melihat perkara itu sebagai satu yang serius dan menganggap ia sebagai perkara normal, apa yang penting bagi Mawi dan Ekin adalah untuk terus memelihara kerukunan rumah tangga mereka.

Mungkin ada segelintir yang akan mencebik dan mencemuh membaca artikel ini tetapi kebahagiaan yang dikecapi oleh Mawi dan Ekin seharusnya tidak perlu dipertikaikan.

Sering bercanda, bergurau mesra dan berjenaka membuatkan ramai yang melihat mereka tidak ubah seperti sahabat dan bukannya suami isteri.

"Itu juga yang dikatakan oleh kawan-kawan kami dan mereka yang berada di sekeliling kami.

"Kata mereka, kami ini tidak seperti pasangan suami isteri tetapi macam kawan.

"Kami akui sehingga ke saat ini pun kami masih lagi di alam percintaan dan seperti pasangan kekasih yang baru mengecapi nikmat cinta," luah Ekin atau nama sebenarnya, Nora'Asikin Rahmat sambil memandang suami tersayang yang berada di sisinya ketika itu.

Pasangan bahagia ini ditemui pada majlis tahlil dan sambutan ulang tahun kelahiran Ekin ke-30 di kediaman mewah mereka yang terletak di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Berpakaian sedondon dalam rona ungu kebiruan, baik Mawi dan Ekin menjelaskan, mereka menjadi begitu rapat selepas berkahwin dan sedaya upaya mencari masa untuk menghabiskan masa bersama meskipun Mawi sibuk dengan kariernya.

"Dulu masa bujang, saya tiada langsung masa senggang kerana begitu sibuk dengan kerjaya tetapi kini semua berubah.

"Sekarang, kami boleh pergi bersiar bersama-sama dan melakukan perkara yang tidak berkesempatan saya lakukan ketika bujang dulu," kata juara Akademi Fantasia musim ketiga ini yang gemar menonton wayang bersama-sama Ekin sekurang-kurangnya seminggu sekali.

Menyambung bicara, pemilik nama penuh Asmawi Ani ini memberitahu sepanjang tempoh mendirikan rumah tangga, ia juga adalah sebagai proses untuk mengenali hati budi isterinya yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya.

Rahsia besar yang baru diketahui Mawi sepanjang berkahwin adalah minat dan kekaguman Ekin terhadap primadona filem Melayu, Erra Fazira.

Malah, penyanyi lagu Angan dan Sedar serta Aduh Saliha ini sendiri seperti tidak percaya apabila isterinya itu merupakan pengikut setia rancangan Gugu Gaga Erra yang pernah ditayangkan di Astro Ria tidak berapa lama dulu.

"Dia memang tidak akan melepaskan peluang untuk menonton rancangan itu sehinggakan saya tidak berpeluang untuk menonton rancangan kegemaran saya (ketawa).

"Sehinggakan, saya kena beli set televisyen baru untuk diletakkan di ruang yang lain semata-mata untuk menonton rancangan kegemaran saya," katanya sambil mengusik Ekin di sebelahnya.

Kerana tahu minat Ekin yang mendalam terhadap Erra, Mawi telah membuat kejutan untuk Ekin pada majlis sambutan hari jadinya tempoh hari.

Kehadiran Erra pada majlis hari jadinya itu ternyata mengejutkan Ekin sehingga wanita itu hilang kata-kata dan menggigil.

"Patutlah bila saya hantar SMS dan menelefon Erra, dia tidak membalas mahupun menjawab panggilan saya. Rupa-rupanya, sudah berpakat dengan Mawi untuk mengejutkan saya.

"Tiada lain yang saya harapkan cuma kebahagiaan yang berkekalan sehingga ke akhir hayat dan dikurniakan dengan cahaya mata," kata bekas pelakon drama bersiri Kawan itu sambil ketawa yang turut menyambut hari jadi bersama kembarnya, Aen.

Majlis tahlil dan sambutan hari lahir Ekin yang diusahakan dan dirancang oleh Mawi itu diadakan buat pertama kali selepas mendiami rumah itu sejak setahun setengah yang lalu.

Malah, pasangan ini turut menjemput anak-anak yatim bagi menyempurnakan majlis tahlil dan doa selamat yang diadakan di sebelah petangnya.

Majlis itu juga menandakan secara rasmi dan buat pertama kalinya, Mawi menjemput pihak media bertandang ke kediamannya yang bernilai RM1.8 juta itu.

Cerita Mawi, dia cukup tertarik dengan kawasan perumahan tersebut yang sunyi dan tenang.

Tambahan pula, tuan rumah sebelum ini mahu menjual rumah tersebut dengan harga yang disifatkannya cukup murah dan kerana itu, Mawi tidak teragak-agak membelinya.

Anak kelahiran Felda Taib Andak, Kulai, Johor ini turut menjelaskan bukanlah dia mahu merahsiakan atau melarang pihak media untuk membuat sesi fotografi sebelum ini.

Tetapi, katanya, ketika itu dia masih belum bersedia dan keadaan rumahnya yang belum sempurna serta membuat sedikit ubah suai untuk mengemaskan lagi kediamannya.

Mawi sempat berkongsi cerita tentang dekorasi rumahnya yang mengalami perubahan sebanyak 70 peratus dan semuanya itu banyak dibantu oleh Ekin.

"Kami tidak ada konsep tertentu untuk rumah ini. Semuanya adalah berdasarkan cita rasa dan idea kami berdua.

"Tapi saya tidak membeli rumah ini secara tunai pun seperti mana yang dikatakan oleh sesetengah pihak. Saya tak mampu dan belum sampai ke tahap itu," jelas Mawi yang turut dihadiahkan dengan sebuah piano besar oleh tuan rumah yang diletakkan di sudut ruang rehat.

Mawi juga tidak lokek berbelanja sebanyak RM5,000 untuk sebuah meja snuker kerana begitu meminati permainan tersebut selain mahu mengisi masa terluang bersama rakan-rakannya.

Selain itu, Mawi sempat berkongsi cerita bagaimana rumahnya pernah dimasuki pencuri sewaktu awal dia berpindah ke rumah yang mempunyai enam bilik tidur itu.

Ketika itu hanya dia dan temannya Ali sahaja berada di rumah dan sangkaannya adalah kucing yang membuat bising di tingkat atas.

Tetapi selepas melihat botol air milik Ali serta pengecas telefon bimbitnya tiba-tiba hilang, Mawi merasakan sesuatu yang tidak kena.

"Bila kami memeriksa bilik tersebut, barang-barang yang hilang itu ada di situ dan pencuri itu berada di bilik itu semalaman.

"Pencuri itu juga sempat melarikan tabung milik saya," ceritanya panjang lebar.

Di sebalik kebahagiaan yang dikecapi mereka, Mawi tiba-tiba meluahkan kesedihannya apabila isterinya itu mengalami keguguran buat kali kedua sekitar menjelang bulan Ramadan baru-baru ini.

Kali pertama, Ekin mengalami keguguran adalah pada Mac lalu selepas pulang dari Korea untuk berbulan madu.

"Sesiapa sahaja yang berkahwin, pastinya akan mengimpikan cahaya mata untuk melengkapkan dan menyempurnakan lagi kehidupan mereka.

"Saya reda dan sedar mungkin belum tiba rezeki untuk kami menimang cahaya mata tetapi itu bukan bermakna kami tidak akan terus mencuba," ujar Mawi tenang.

Dalam perkembangan lain, Mawi memberitahu kerjaya seninya masih lagi berjalan lancar dan di dalam proses untuk menyiapkan album terbarunya, Idola.

Dalam masa yang sama, pria berusia 29 tahun ini juga mahu aktif menerbitkan telemovie di bawah syarikatnya, MW Entertainment.

Sehingga kini, dia sudah menerbitkan telemovie Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya yang disiarkan di Astro Prima pada Aidilfitri lalu dan Langkah Mawi musim kedua.

"Saya ada perancangan untuk menerbitkan dua buah telemovie lagi selepas ini dan sudah pasti, saya mahu meluaskan lagi produksi saya ini serta bekerjasama dengan semua stesen televisyen.

"Tetapi, saya perlu lakukannya secara perlahan-lahan," kata pelakon filem Jin Notti ini yang baru muncul dengan single terbaru, Penyembuh Rindu yang dinyanyikan secara duet dengan aktres, Diana Danielle.


Laporan Harian Metro :

Bahagia Sebahagia-Bahagianya

Oleh Nor Akmar Samudin
akmar@hmetrof.com.my

KALA menyulam cinta, Mawi dan Ekin tidak boleh sebebas pasangan lain kerana sentiasa diperhatikan masyarakat. Kini selepas berumah tangga barulah mereka boleh menikmati detik percintaan dengan sepuasnya.

Tiada yang marah lagi jika mereka berjalan berpegangan atau makan bersuap kerana sudah halal sebagai suami isteri.

Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, 28, juga berasakan kehidupannya sekarang lebih membahagiakan kerana sudah ada yang menemani lenanya dan makan dan minum juga terjaga.

Selepas hampir setahun berkongsi hidup, mereka semakin mengenali diri dan kesukaan masing-masing. Sewaktu bercinta, Mawi tidak tahu pun isteri kesayangannya itu sangat meminati Erra Fazira.

“Kami sekarang seperti pasangan yang sedang dilamun cinta kerana ketika bercinta dulu kami jarang dapat keluar berdua. Jika rindu untuk bertemu pasti ada yang teman kerana sebagai milik masyarakat tentu saja setiap tindakan menjadi perhatian dan memang tidak manis keluar berdua dengan anak dara orang.

“Sekarang baru terasa langkah kami bebas dan dapat menikmati keindahan alam percintaan seperti insan lain. Dengan keadaan sekarang di mana industri hiburan agak suram turut memberi kesan kepada kerjaya seni saya. Meskipun tidak semeriah dulu namun setiap bulan undangan persembahan tetap ada.

“Oleh itu dapatlah saya meluangkan banyak masa dengan Ekin. Waktu lapang kami akan pergi main bowling dan menonton wayang. Memandangkan kami belum dikurniakan cahaya mata, Ekin memang selalu menemani saya, tetapi saat itu berbeza kerana dia teman saya bekerja seperti menjayakan persembahan atau sesi fotografi,” katanya.

Selain terus aktif dalam persada seni suara dan kini bergelar pelakon menerusi dua filem lakonannya, Jin Notti dan Magika, Mawi yang kelihatan semakin matang menyusuri liku kehidupan sebagai anak seni juga mengorak langkah sebagai produser di bawah syarikat penerbitan sendiri, MW Entertainment Sdn Bhd yang beroperasi hampir dua tahun lalu.

Setakat ini MW Entertainment baru menerbitkan dua program, Langkah Mawi…World musim kedua dan drama raya, Bini Baru, Rumah Baru, Baru Raya yang disiarkan pada Aidilfitri lalu di Astro.

“Saya terima hakikat kedudukan saya dalam industri ini ada pasang surut jadi MW Entertainment adalah persediaan untuk berhadapan dengan sebarang perubahan pada masa depan. Ekin juga mengusahakan butik di Johor Bharu.

“Insya-Allah penghujung tahun ini, MW Entertainment akan menerbitkan telefilem berjudul Jiwa Kacau, skrip Ad Samad dan cerita asal saya sendiri. Saya akan muncul sebagai cameo dalam telefilem itu. Pengarahnya Rahila Ali dan penggambaran akan dibuat di Ipoh, Perak. Sekarang dalam proses mencari pelakon.

“Pada penghujung tahun ini juga saya dan Ekin akan ke Korea untuk program berbulan madu bersama beberapa pasangan lain. Mengambil peluang bercuti di negara itu, saya akan meninjau lokasi menarik untuk dijadikan lokasi penggambaran drama 13 episod. Sebanyak 80 peratus penggambaran akan dilakukan di sana dan selebihnya di sini.

“Cerita berkisar saudara kembar, tetapi Ekin dan adiknya, Ain menolak untuk berlakon dalam drama ini. Sebagai ganti saya akan mencari pelakon lain pegang watak gadis kembar. Penggambaran Langkah Mawi musim kedua juga sudah siap di mana penjelajahan kali ini ke Hong Kong, Sri Lanka dan Melbourne, Australia,” katanya.

Meskipun Mawi dan Ekin sudah aman dan bahagia namun masih ada yang tidak puas hati apabila jejaka popular dari Felda Taib, Andak itu memilih Ekin sebagai ratu hatinya. Ada yang mengirim surat layang menghamburkan kata kesat terhadap mereka berdua.

“Biasanya surat layang itu dikirimkan ke alamat rumah emak di kampung. Saya tidak pernah peduli pun dengan surat layang itu dan tidak pernah tunjuk pada Ekin. Buat apalah saya hendak melayan perkara yang tidak mendatangkan faedah,” katanya.

Mawi ditemui di kediaman mewahnya di Bangi Country Golf Club, Bandar Baru Bangi, kelmarin.

Buat kali pertama Mawi mengadakan majlis keramaian di banglonya itu sempena meraikan hari jadi Ekin dan Ain yang ke-30.

Sebelum itu pada sebelah petang diadakan majlis tahlil untuk arwah bapanya, Ani Ahmad atau Pak Atan yang meninggal dunia dua tahun lalu serta majlis doa selamat masuk ke rumah baru.

“Saya beli banglo ini sebelum berkahwin dan ketika bujang saya belum bersedia untuk mengadakan sebarang majlis di sini kerana tiada siapa menguruskannya. Selepas beristeri barulah saya boleh mengadakan majlis di sini kerana keadaan rumah pun sudah tersusun.

“Saya beli banglo ini selepas seorang rakan memperkenalkan saya pada pemiliknya berbangsa Cina yang bercadang berpindah ke kediaman lebih kecil kerana semua anaknya kini menuntut di luar negara.

“Pemilik banglo ini baik dan dia menawarkan harga yang agak murah berbanding harga hartanah sebenar di kawasan ini. Selepas berbincang saya bersetuju menjadi pemilik baru kerana berkenan dengan halamannya yang luas, lokasi rumah dan suasana sekitar yang sunyi. Selepas bekerja seharian saya perlukan ketenangan dan banglo ini menyedia apa yang saya inginkan.

“Hampir 80 peratus keadaan dalam rumah ini Ekin lakukan pengubahsuaian bagi menepati cita rasa kami. Sewaktu membeli banglo ini, kami mewarisi piano, televisyen dan beberapa barang lain yang ditinggalkan,” katanya.

Mengenai meja snuker yang diletakkan di tengah rumah, jelas Mawi, meja berharga RM5,000 itu dia beli sendiri kerana dia suka bermain snuker.

“Sebelum jadi artis lagi saya suka bermain snuker, tetapi selepas dikenali ramai, takkan saya hendak pergi ke pusat snuker nanti mendatangkan fitnah masyarakat,” katanya.

Ekin atau namanya sebenarnya Nora’Asikin Rahmat yang ada sama ketika sesi temubual itu mengharapkan sempena hari lahirnya itu, rumah tangganya bertambah rukun dan damai sambil mengharapkan kehadiran cahaya mata. Sejak berumah tangga pada Disember lalu, sudah dua kali Ekin keguguran.

“Sunyi tanpa anak, tetapi nampaknya belum ada rezeki. Kami akan terus mencuba dan berdoa kepada Allah. Sekarang saya sibuk menguruskan butik di JB dan tahun depan bercadang membuka cawangan di Kuala Lumpur. Kontrak duta untuk tudung Ariani pun bakal berakhir dan dalam perbincangan untuk disambung lagi ataupun tidak. Terpulang kepada keadaan kerana saya bercadang untuk menghasil dan menjual tudung sendiri,” katanya.

Menyentuh rumah tangganya, tambah Ekin, meskipun sudah berkahwin tetapi kemesraan mereka seperti kawan.

“Kami bergurau, bertepuk bertampar dan masih boleh bercakap agak ‘lepas’ kerana terasa masih di alam percintaan. Memahami situasi Mawi sebagai artis popular, dulu sukar sekali untuk menzahirkan rasa cinta. Sekarang kami sudah bebas. Pun begitu masih ada yang tidak puas hati dengan jodoh yang Allah aturkan ini,” katanya.

Pada sambutan hari jadi itu juga, Ekin menerima kejutan daripada Mawi dengan menjemput Erra ke majlisnya itu.

“Tak sangka Mawi, kak Intan (Intan Zabidin) dan kak Erra berpakat membuat kejutan ini. Puas saya menghubungi dan mengirim SMS kepada kak Erra kerana hendak menjemputnya ke majlis malam ini (kelmarin) . Rupanya mereka sudah ada rancangan lain. Saya gembira sangat dengan kejutan ini kerana saya minat kak Erra sejak remaja lagi.

“Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) saya dan Ain ke Kuala Lumpur dan sewaktu berjalan di Bukit Bintang saya ternampak kak Erra.

“Sebelum kami tegur, dia menegur kami dulu. Katanya, ‘Hai kembar, mari ini.’ Sejak itu saya minat gila dengan kak Erra. Saya sukakan cara dan gayanya serta mengagumi kejelitaannya. Saya tidak pernah ketinggalan menonton program Gugu Gaga Erra dan boleh bergaduh dengan Mawi jika dia tukar saluran televisyen ketika saya sedang menonton,” katanya.

Bertanyakan hadiah istimewa Mawi pada hari jadinya, kata Ekin selain kejutan Erra, dia belum terima hadiah lain daripada Mawi.

Jelas Mawi, dia sudah menyediakan hadiah untuk Ekin, tetapi biarlah mereka berdua yang tahu dan dia juga belum menyerahkannya pada Ekin.

Majlis yang diadakan itu meriah dengan kehadiran ramai rakan artis, antaranya kumpulan nasyid Rabbani, Ramli Sarip, Along Raja Lawak, Zila AF, Linda Onn, Datuk Fadzilah Kamsah serta sahabat handai.

Profil

NAMA PENUH: Asmawi Ani

USIA: 28 Tahun

TARIKH LAHIR: 25 Ogos 1981

ASAL: Felda Taib Andak, Kulai, Johor

PENCAPAIAN: Juara Akademi Fantasia 3 (AF3), Bintang Paling Popular,

Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2005, Bintang Paling

Popular ABPBH 2006, Bintang Paling Popular ABPBH 2007

ALBUM: The Best of Mawi World, Yang Tercinta, Doa, Berzanji & Qasidah

Berlagu dan album MTV Karaoke Best of Mawi World & Allah Habeebi

FILEM: Jin Notti, Aduh Saliha! (penggambarannya masih tergendala) dan

Magika

TELEMOVIE: Rumah Baru, Bini Baru & Baru Raya

PROGRAM: Langkah Mawi… World!

ANTARA IKLAN: Poweroot, Silky Man dan Mamee Slurpp

ANTARA DUTA: Wall’s, Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) dan Menara

Kuala Lumpur

Harian Metro

Comments :

2 comments to “Berita dan Gambar : Birthday Ekin (isteri Mawi) Meriah.. | Nizar News”

Radio 60'an said...
on 

tidaklah secantik mana.. kawen atas dasar populariti.. malunyaaa!

Anonymous said...
on 

nak glemer je ni..

Channel YouTube Neutral Daily



Statistik

 

Copyright © 2009 by Neutral Daily